Langkah untuk Memulakan Bisnes Fotografi di Malaysia

Memulakan perniagaan fotografi anda sendiri merupakan cara yang terbaik untuk menambah pendapatan sokongan atau pendapatan utama. Walaupun pertandingan pasaran amat kuat dalam bidang fotografi, ramai pemilik perniagaan fotografi dapat mengenal pasti niche mereka dan membina kerjaya yang lestari. Seperti kebanyakan usaha kreatif, anda perlu mengimbangi keghairahan fotografi anda dengan kemahiran perniagaan sebenar untuk berjaya dalam bidang ini.

Untuk membina dan mengembangkan perniagaan fotografi anda, anda memerlukan bakat teknikal fotografi serta idea idea pemasaran. Seorang jurugambar yang amat berwibawa berkongsi pengalaman dengan kami bahawa, berkeupayaan untuk memasarkan diri adalah faktor yang paling penting dalam menjayakan bisnes ini. Anda harus terus berusaha untuk meningkatkan kemahiran anda dan mengembangkan produk anda, bekerja dengan konsisten pada penjenamaan anda sendiri dan membuat pemasaran dalam talian. Tanpa usaha tersebut, hasilnya mungkin hanya menjadi hobi yang mahal dan bukannya perniagaan sepenuh masa yang berdaya maju.

Cara cara memulakan Bisnes Fotografi

Jika anda sudah membuat keputusan untuk memulakan bisnes fotografi, anda boleh mengambil tips tips dibawah sebagai rujukan.

1. Memutuskan jenis perkhidmatan (niche) fotografi yang anda ingin tawarkan

Bisnes dan individu memerlukan jurugambar atas sebab-sebab yang berlainan. Bisnes memerlukan gambar produk mereka untuk risalah atau laman web. Pemaju hartanah memerlukan gambar rumah yang mereka jual. Majalah memerlukan foto yang berkaitan dengan artikel yang mereka terbitkan. Atau anda boleh menawarkan perkhidmatan dengan fotografi bukan untuk perniagaan, mengambil potret atau gambar perkahwinan untuk pasangan, gambar keluarga, gambar graduan dan sebagainya merupakan beberapa contoh yang amat digemali.
Lain lain niche fotografi yang boleh dipertimbangkan kalau anda tidak berminat menceburi dalam niche perkahwinan atau bayi.

Stock photography: Selain daripada dibayar untuk mengambil gambar profesional, anda juga boleh menjual foto yang anda ambil sendiri (bukan gambar yang anda dibayar untuk mengambilkannya). Banyak platform Stock Photo akan membeli atau membolehkan anda menjual foto anda di platform tersebut. Bayaran mungkin rendah, tetapi pelesenan gambar akan diuruskan untuk anda, dan anda boleh menjual dengan kuantiti yang banyak.

Kerja kontrak: Sesetengah jurugambar mendapat kontrak dimana mereka dibayar bulanan untuk bertugas di acara tempatan atau ON CALL. Sebagai contoh, jabatan pelancongan memerlukan jurugambar untuk mengambil gambar dalam acara atau pameran yang tertentu. Kontrak begini mungkin perlukan jurugambar bertugas selama beberapa hari (atau minggu) berturut turut sampai acara atau pameran tersebut akhir.

Fotografi komersial: Semua perniagaan memerlukan imej untuk laman web, sosial media atau majalah. Anda mungkin boleh mencari kerja menangkap imej produk atau perkhidmatan, kemudahan, dan juga potret ketua ahli lembaga pengarah dan pasukan pengurusan mereka yang boleh dipapar di laman web atau majalah syarikat.

Hartanah: Sering kali, ejen hartanah akan upah jurugambar untuk menangkap imej profesional rumah, hartanah perniagaan atau tanah. Mereka juga mungkin mahu jurugambar menangkap rakaman video 360 darjah atau interaktif.

Haiwan peliharaan: Orang pasti suka haiwan kesayangan mereka, dan ramai pemilik haiwan kesayangan mahu imej profesional untuk sahabat mereka, sama ada sebagai imej gaya potret atau di lokasi dengan pergerakan semula jadi.

Glamour: Ramai orang suka mengambil gambar sendiri dengan rambut mereka didandan dan solek dilakukan secara profesional. Ini boleh dilakukan di studio dengan artis profesional lain jika anda tidak boleh menyediakan servis danda rambut dan solek.

Sukan: Pelbagai organisasi sukan mahukan imej dan video professional untuk acara yang diadakan. Anda mungkin boleh mendapatkan kerja kontrak untuk musim penuh acara atau acara tertentu, acara seperti maraton tempatan, belon udara pana atau perlumbaan basikal. Perlu diingat bahawa kanta untuk menangkap detik-detik sukan perlu berkualiti dan berspesifikasi tinggi.

Berita tempatan: Berita bercetak, TV atau berita dalam talian boleh membayar anda untuk mengambil imej acara tempatan, bencana cuaca atau adegan jenayah. Ia memerlukan anda untuk keluar dari studio dan meliputi peristiwa di lokasi tertentu.

Penyuntingan imej atau video: Seorang jurugambar tempatan yang sibuk mungkin memerlukan bantuan dengan beban kerjanya. Gaji mungkin tidak tinggi, tetapi ia adalah peluang yang baik untuk bekerja dengan mereka demi meningkat lagi kemahiran penyuntingan anda dan dapat peluang bekerja dengan jurugambar yang berpengalaman.

Imej produk: Ramai artis tempatan dan bisnes kecil menjual produk dalam talian dan memerlukan imej produk yang baik untuk laman web atau laman membeli-belah, seperti Shoppee atau Lazada. Gaji setiap imej tidak akan tinggi, tetapi kerjanya lebih mudah berbanding dengan kerja lain yang memerlukan kemahiran teknikal yang lebih tinggi.

Imej makanan: Seperti bisnes lain, restoran perlu menyediakan laman web atau akaun sosial media untuk memaparkan menu mereka. Anda mungkin mendapati kerja dalam membantu restoran mencipta menu dalam talian dan imej promosi.

Muzik: Kumpulan muzik memerlukan imej promosi untuk laman web, CD atau pakej media mereka. Ada juga kumpulan yang perlukan video untuk persembahan langsung mereka.

Cetakan: Sesetengah jurugambar menemui kejayaan dengan menjual cetakan mereka. Walaupun ini merupakan cara yang sukar untuk menjana pendapatan tetapi berbaloi meneroka jika ia sesuai dengan cara kerja atau minat anda. Cetakan boleh dijual dalam talian atau di galeri tempatan.

Pertandingan: Jika memasuki pertandingan foto adalah mudah dan tidak membebankan anda, ia mungkin berbaloi mencuba untuk mendapat sedikit pendapatan tambahan dan tingkatkan pendedahan kerja anda kepada orang awam. Pertandingan selalunya dapat menarik perhatian media.

Terdapat banyak perkara yang perlu diketahui sebelum anda menceburi dalam bidang fotografi dan menjadi jurugambar yang luar biasa. Dengan kemahiran, pemasaran yang teliti dan reputasi profesional, anda mempunyai peluang yang baik untuk menjana pendapatan yang lumayan dalam kerjaya fotografi yang anda gemarkan.

2. Membina pelan bisnes untuk bisnes fotografi

Pelan bisnes dapat memberi gambaran untuk perniagaan anda sebelum bermula, butiran termasuk perkhidmatan yang anda tawarkan, bagaimana anda berbeza daripada persaingan dalam pasaran, unjuran kewangan, strategi pemasaran dan sebagainya. Ini juga merupakan masa yang terbaik untuk anda menentukan struktur harga jualan. Sebagai contoh, jika anda ingin menjana RM100,000 setahun dan percaya anda boleh menerima 50 tempahan setahun, anda perlu mengenakan bayaran hampir RM2,000 setiap tempahan. Harga anda perlu mengambil kira kos peralatan, bekalan, pengangkutan, masa anda dan lain lain kos yang berkaitan.

3. Mengenal pasti kos permulaan Bisnes fotografi

Sebagai sebahagian daripada proses perancangan untuk bisnes anda, anda perlu mengenal pasti kos yang berkaitan dengan permulaan anda. Apakah barangan keperluan yang anda perlukan sebelum anda benar-benar boleh melancarkan perniagaan anda?

Peralatan fotografi sahaja boleh menelan perbelanjaan sebanyak RM10,000. Anda juga memerlukan lesen perniagaan, insurans, laman web, perisian perakaunan dan banyak lagi!

Bagaimana dengan tempat bekerja, perlukan anda menyediakan studio fotografi? Atau anda boleh bekerja di rumah pada permulaan?

Jika anda memerlukan ruang pejabat, anda perlu mencari hartanah sewa komersial dan memikirkan kos sewa bulanan, bersama-sama dengan kos utiliti ke dalam pelan kewangan anda.

Peralatan fotografi berkualiti amat mahal, jadi anda mungkin mahu bermula dengan kos rendah dan minimum, membeli kanta dengan harga RM5,000 tidak masuk akal jika perniagaan anda masih belum menjana pendapatan lagi. Ramai jurugambar profesional berkata, sebanyak RM10,000-RM15,000 diperlukan untuk untuk memulakan perniagaan fotografi, dia juga menekankan bahawa ini merupakan kos permulaan yang perlu dibajet dengan penambahan 20-30% untuk kos kos tersembunyi yang belum dapat dikenal pasti lagi pada masa merancang.

Membina bisnes perlahan dan pintar akan membantu bisnes anda kekal lincah. Benarkan pertumbuhan bisnes yang organik tanpa perbelanjaan yang tinggi, dan mengelakkan hutang jika keadaan membenarkan.

Berikut adalah perbelanjaan asas untuk memulakan perniagaan fotografi, ia tidak termasuk studio atau ruang pejabat. Semua harga adalah anggaran tahunan atau pembelian sekali.

Butiran Harga
Kamera X2 unit RM2000-3000 seunit
Kanta X2-3 unit RM1000-1500 seunit
Lampu denyar X2 unit RM500-800 seunit
Kad memori X2-3 unit RM100-150 seunit
Hard disk utk backup X2 unit RM200-300 seunit
Komputer X1 unit RM3000-4000 seunit
Perisian Photoshop X1 unit RM400-500 setahun
Lesen ShootProof RM300-400 setahun
Lesen perniagaan RM400-500 setahun
Laman Web RM1000-2000 utk bermula, RM200-300 tahunan
Kad bisnes RM50-80

4. Mencari dana untuk permulaan Bisnes fotografi

Jika anda mempunyai wang yang mencukupi untuk memulakan bisnes fotografi anda, anda mungkin tidak perlu meminjam wang dari pihak lain, tetapi ramai usahawan memerlukan bantuan, terutamanya mereka yang memulakan perniagaan pada kali pertama. Ramai orang yang memulakan perniagaan buat kali pertama akan meminta bantuan kewangan dari ahli keluarga atau rakan-rakan. Ada juga usahawan memulakan bisnes mereka dengan separuh masa dan bekerja sepenuh masa dengan majikan sehingga perniagaan mereka dapat menjana pendapatan yang dapat menampung perbelajaan perniagaan.

Sama ada anda meminta bantuan kewangan dari rakan-rakan, ahli keluarga atau memohon pinjaman dari bank, anda memerlukan pelan bisnes yang teliti dalam bahagian kewangan, anda perlu mengenal pasti bagaimana anda akan membelanjakan dana tersebut dan bila atau bagaimana anda akan kembalikan pinjaman dalam masa singkat dan jangka panjang.
Jika ini merupakan kali pertama anda memulakan bisnes, anda harus menyedari bahawa perniagaan anda mungkin tidak akan menjana pendapatan atau keuntungan dalam masa singkat. Ia mungkin mengambil masa 12-18 bulan untuk perniagaan menjana pendapatan yang secukupnya untuk membayar bil-bil perniagaan bulanan.

5. Menentukan struktur bisnes fotografi

Struktur yang paling mudah dan murah adalah pemilik tunggal. Walau bagaimanapun, mewujudkan syarikat sendirian berhad (Sdn Bhd) akan menawarkan perlindungan yang lebih besar ke atas aset peribadi anda sekiranya anda menghadapi masalah undang-undang. Tetapi kos penyelenggaraan untuk Sdn Bhd adalah lebih tinggi.

6. Menentukan nama bisnes fotografi

Apa nama yang digunakan untuk perniagaan anda akan menjadi imej jenama bisnes, jadi pilih nama yang sesuai dengan niche fotografi yang anda pilihkan. Jika anda ingin mengambil potret keluarga anda boleh mempunyai nama yang dapat memikat hati ibu bapa, tetapi jika anda ingin melakukan bisnes untuk fotografi perniagaan atau perkahwinan, anda mungkin perlukan nama yang lebih profesional atau elegan.

7. Tubuhkan Bisnes fotografi secara rasmi

Bergantung kepada apa struktur perniagaan yang anda memilih, prosedurnya berlainan. Jika anda ingin menubuhkan perniagaan pemilik tunggal, anda hanya perlu menuju ke pejabat SSM yang terdekat untuk membuat pendaftaran. Sekiranya anda ingin menubuhkan syarikat sendirian berhad, anda perlu mengupah agensi setiausaha yang berlesen untuk pengurusan pendaftaran.

Sebaik sahaja perniagaan fotografi anda telah ditubuhkan secara rasmi, anda perlu mendapatkan lesen perniagaan atau permit seperti yang dikehendaki oleh majlis perbandaran atau kementerian industri anda. Sebaik sahaja lesen atau perniagaan diperolehi, anda boleh membuka akaun bank perniagaan dengan institusi kewangan yang anda minat.

8. Kumpulkan peralatan dan bekalan yang diperlukan

Jika fotografi adalah hobi anda, anda mungkin sudah mempunyai banyak peralatan fotografi yang anda perlukan. Walau bagaimanapun, anda perlu menilai kualiti peralatan tersebut adalah cukup tinggi untuk mengenakan bayaran yang sewajanya untuk perkhidmatan. Bersama-sama dengan kamera, anda juga memerlukan kanta, lampu denyar, bateri, perisian penyuntingan foto, kertas foto berkualiti dan pembungkusan yang digunakan untuk menyampaikan foto kepada pelanggan. Anda juga mungkin memerlukan lampu dan skrin untuk mengawal pencahayaan.

9. Menentukan harga perkhidmatan dan produk bisnes fotografi

Berapakah caj yang perlu dikenakan untuk perkhidmatan fotografi anda? Ini adalah soalan yang sukar untuk setiap jurugambar, terutamanya untuk jurugambar yang baru bermula berniaga. Fikirkan berapa usaha yang diperlukan dalam satu jam dan tentukan berapa yang anda hendak caj untuk sejam. Anda juga boleh membuat penilaian dengan berbanding jurugambar dalam bandar atau negara yang anda berada, ambil purata dari 10-15 jurugambar dan membuat satu tetapan harga yang lebih murah daripada purata. Dari semasa ke semasa, anda boleh naikkan harga tersebut. Yang penting, pelanggan anda mesti mendapati kualiti yang setaras dengan caj yang dikenakan.

Katakan masa anda bernilai RM100 sejam. Setiap jam yang anda menggunakan untuk membuat penggambaran, anda akan perlukan masa kira-kira tiga jam untuk kerja edit. Jadi, dalam contoh ini, anda akan mengenakan bayaran RM400 untuk sesi foto satu jam. Sudah tentu, struktur harga anda bergantung kepada banyak factor yang lain, ini hanya satu contoh untuk permulaan.

10. Menyediakan bahan pemasaran

Selain daripada kad bisnes dan risalah, anda harus membina satu laman web fotografi. Terdapat templat laman web percuma di talian, tetapi laman web anda seperti kedai anda, ia sepatutnya dapat mengagumkan pelanggan anda, jadi cuba mencipta satu laman web yang dapat menarik perhatian pelanggan.

Laman web anda sepatutnya mempamerkan servis dan kerja yang pernah anda buat sebelum ini, itulah yang ingin dilihat oleh pelanggan anda. Pastikan laman web anda dianjurkan dengan memecahkan galeri anda mengikut kategori. Sertakan gambar diri anda dan halaman yang menerangkan latar belakang dan pengalaman anda. Halaman untukjuga satu kemestian. Adalah idea yang baik untuk menyenaraikan sekurang-kurangnya beberapa harga anda. Ini membantu menguruskan jangkaan pelanggan dan memastikan orang ramai daripada cuba berunding dengan harga yang lebih rendah

Juga, daftarkan akaun media sosial pada rangkaian pasaran sasaran anda. Sebagai contoh, facebook page, pinterest, instagram, adalah beberapa akaun media sosial yang anda tidak boleh abaikan dalam usaha memasarkan servis anda.

Dapatkan kebenaran daripada pelanggan anda sebelum menyiarkan foto mereka dalam talian.

11. Membina jenama sendiri yang unik

Setiap jurugambar mempunyai jenama yang unik untuk bisnes fotografi mereka.

Anda perlu menetapkan diri anda lain daripada jurugambar lain, tiada satu bisnes yang boleh memberi segala-galanya kepada semua pelanggan, kalau tak, anda akan gagal dengan sengsara. Untuk menarik perhatian pelanggan, anda mesti mengukir jenama dan jadi seorang jurugambar yang mempunyai gaya sendiri.

Mulakan dengan mengenal pasti pasaran sasaran anda. Adakah anda lebih suka mengambil gambar potret? Bayi yang baru lahir? Potret untuk graduan? Ketahui apa yang menjadikan anda unik sebagai jurugambar dan menggunakannya untuk menjenamakan bisnes anda.

12. Mempelbagaikan aliran pendapatan bisnes fotografi

Dari semasa ke semasa, anda akan dapat menambah elemen tertentu pada perniagaan anda yang akan membantu anda mempelbagaikan aliran pendapatan anda. Sebagai contoh, menambah bingkai foto ke senarai produk dapat menambahkan peluang menjana pendapat sokongan. Daripada menjana semua pendapatan daripada mengambil gambar semata-mata, anda mampu menjana lebih banyak wang dengan produk atau servis lain.

13. Tidak berhenti menambah ilmu dalam bidang

Salah satu petua terbaik yang diberi oleh jurugambar berpengalaman, adalah tidak berhenti meningkatkan kemahiran dan sentiasa mencari peluang untuk belajar. Ambil kelas, tonton video pendidikan, atau jadualkan masa untuk mengambil gambar sesuatu yang benar-benar tidak berkaitan dengan trek kerjaya anda—apa-apa sahaja yang dapat meningkat kemahiran anda.

14. Mendapat bantuan

Pada mulanya, anda akan melakukan semua kerja dalam bisnes anda. Anda akan menyediakan tapak, mengambil gambar, mengedit gambar, dan membuat pesanan untuk cetakan. Apabila anda baru bermula, anda tidak mampu menampung perbelanjaan yang tinggi dengan upah orang lain. Walau bagaimanapun, sebaik sahaja perniagaan anda ditubuhkan dapat menjana pendapat yang cukup untuk perbelanjaan bulanan, ia bukan idea yang buruk untuk mendapatkan bantuan dengan mengaji pekerja sepenuh masa atau mengambil pekerja bebas (freelancer) jika anda tidak mahu menampung perbelanjaan tetap.

Sebelum itu, anda perlu mengenali kekuatan dan kelemahan anda sendiri. Mungkin anda hebat untuk mengambil gambar tetapi tidak begitu baik pada penyuntingan, atau anda tidak menikmati bekerja dengan proses ini. Jika demikian, cari freelancer untuk membantu untuk kerja itu. Jika anda tidak tahu mana-mana freelancer, minta rakan sekerja untuk cadangkan atau menggunakan laman web seperti Elance, laman ini mempunyai ramai freelancer yang amat berkualiti.

Seperti mana-mana bisnes yang baru ditubuhkan, trek usahawan anda tidak mungkin akan lancar, tetapi jika anda komited terhadap kerja dan produk anda dan bekerja untuk memberikan setiap pelanggan pengalaman yang terbaik, anda akan mendapat reputasi yang kukuh dalam bidang fotografi.